Bayu Bosphorus1 bertiup manja.
Kadang-kadang nakal menampar-nampar lembut wajah Fateh. Bau masin
laut menerawang di ruang udara. Berebut-rebut menerobos indera hidunya.
Indera lihatnya tidak puas-puas merakam keindahan pagi di tebing
Bosphorus
walaupun acapkali dia ke mari. Bogaziçi, begitulah gelaran untuk selat
ini dalam bahasa Turki. Dari jauh sayup-sayup kelihatan pelabuhan Golden
Horn. Di pelabuhan itulah suatu ketika dulu 70 buah kapal milik pasukan
tentera Sultan Muhammad Al-Fateh mendarat. Gempar Maharaja Konstantine
ketika itu. Apa tidaknya, kapal-kapal itu dipindahkan menggunakan jalan
darat. Kapal-kapal itu diluncurkan melalui Semenanjung Fera sejauh
tiga batu sebelum sampai ke Pelabuhan Golden Horn. Sungguh, Sultan
Muhammad
Al-Fateh berjaya menukar daratan menjadi lautan, melayarkan kapalnya
di puncak gunung dan bukan di ombak lautan. Dalam-dalam Fateh manarik
nafas. Matanya kejap dipejam. Seolah-olah mencari semangat Sultan
Muhammad
Al-Fateh yang masih tersisa di selat itu.
“Setiap kita harus menjadi
secekal Al-Fateh dan segagah Al-Ayyubi andai kita mahu menawan kembali
Baitul Maqdis. Palestin hari ini ialah Konstantinopel2. Setiap umat Islam
seharusnya bercita-cita untuk menjadi Al-Fateh dan paling tidak pun
menjadi seperti tentera-tenteranya. Bukankah Sultan Muhammad Al-Fateh
itu sebaik-baik raja yang memimpin sebaik-baik tentera?”
Kata-kata Safiyya bersipongang3 di segenap jihat4 fikiran Fateh. Atma5nya dijentik sebak.
“Bagaimana tanganmu, Safiyya?
Masih sakit lagi?” sapa Fateh. Dalam kesibukan merawat pesakit-pesakit
di musytasyfa6, Fateh sempat lagi mencuri ruang menjenguk Safiyya.
Keadaan
dalam hospital semakin sesak. Setiap inci tempat ada sahaja batang tubuh
yang terbaring memerlukan bantuan perubatan. Entah sampai bila bangunan Musytasyfa al-Syifa ini boleh terus berdiri untuk menampung jumlah
pesakit
yang tidak menunjukkan tanda-tanda akan surut.
Safiyya sekadar menguntum senyum pada pemuda berkumis nipis berjanggut pandak7 itu. Fateh memeriksa keadaan tangan Safiyya.
“Andai aku hilang tangan
kanan, aku masih punya tangan kiri untuk terus berjuang,” mata
Safiyya bersinar galak. Tiada tergambar garis-garis kecewa pada air
mukanya. Fateh terkesima. Teringat dia kisah Jaafar bin Abi Thalib dalam
ghazwah8 Mu’tah. Walaupun kedua-dua tangannya dicantas musuh, panji
yang diamanahkan oleh Rasululah tidak dibenarkan mencium tanah. Dipeluk
panji dengan kedua-dua lengannya. Rasa kagum pada sahabat nabi yang
bergelar
At-Tayyar9 itu kini turut singgah pada Safiyya.
“Abi ada datang menziarahiku?”
suara gadis itu sedikit kendur. Safiyya dalam keadaan tidak sedarkan
diri ketika dia dihantar ke hospital tempoh hari.
“Err...” Fateh gugup. Dia
hilang bicara. Sebetulnya Basil Mustapha tidak pernah kembali sejak
dia menghantar anak gadisnya.
“Apa kamu bimbang aku tidak
tega mendengar berita kesyahidannya?” Safiyya menduga. Khali10.
“Bahkan itu jawapan yang paling aku nanti,” sejenak pandangan mereka bersatu.
“Aku tidak punya jawapan
untuk soalanmu itu. Yang pasti, abimu tidak pernah kembali sejak dia
menghantar kamu ke sini,” Fateh gagahi diri untuk berterus-terang.
Lebih dua puluh hari Safiyya menanggung derita akibat peluru yang
terbenam
di bahu kanannya. Andai Basil Mustapha, ayahnya lewat sehari
menghantarnya
di Musytasyfa Al-Syifa itu, Safiyya bakal kehilangan anugerah Allah
itu. Otot tangannya terurai. Tisu dagingnya mati dan saraf
tangan Safiyya hancur lumat. Semuanya gara-gara bedilan rejim
zionis yang menggila di Gaza. Fateh tambah bengang apabila mengetahui
Safiyya pernah cuba dihantar menjalani pembedahan di hospital Kaherah,
Mesir melalui pintu sempadan Rafah beberapa hari selepas terkena
tembakan.
Namun gara-gara sekatan di sempadan, Safiyya gagal dibawa keluar dan
tersadai tidak terbela di pintu sempadan Rafah sebelum Basil Mustapha
membawa Safiyya kembali ke Gaza.
“Aku sedang membantu ummi
di kedai runcit kami ketika tiba-tiba kami dihujani tembakan peluru
si zionis. Ummi terkorban. Begitu juga adikku Soufiyyan,” Safiyya
membetulkan jilbabnya yang hampir melorot ke belakang. Beberapa helai
rambut yang terjurai di dahi segera disusup ke dalam jilbab hitamnya.
Cekatan11 Fateh membuka balutan di tangan Safiyya. Bekas luka dicuci penuh
berhati-hati. Lurah-lurah kecil terbentuk di dahi Safiyya. Dia
menyeringai
kesakitan.
Jabeliya, tempat tumpah darah
Safiyya ialah kawasan terawal yang menjadi sasaran bedilan tentera
Israel. Kawasan yang suatu masa dahulu meriah dengan rimbunan pokok
zaitun, deretan rumah dan beberapa bangunan kilang kini menjadi padang
jarak padang terkukur. Tiada yang tersisa melainkan serpihan-serpihan
batu bata yang berselerakan di sana sini.
“Aku bersimpati terhadapmu,
Safiyya. Begitu juga dengan mereka yang senasib denganmu,” Fateh
meluahkan
rasa simpati. Wajah Safiyya diseluruhi. Senyumannya yang kini membuat
Fateh tidak lena tidur malam. Lirik matanya benar-benar buat Fateh
tidak keruan. Fateh dapat merasakan denyutan jantungnya menyalahi tempo12
setiap kali berhadapan dengan gadis dari Desa Jabeliya itu. Kadang –kala
lidahnya jadi kelu ibarat mulutnya penuh disumbat batu. Keteguhannya
memelihara syariat Ilahi membuatkan Fateh tambah jatuh hati. Biarpun
sakit dan berada dalam kesulitan suasana perang, jilbab masih lekat
di kepala. Saat itu dia terkenang Welma, kekasihnya. Welma tidak
kalah jika hendak dibandingkan dengan Safiyya. Cuma bezanya, Welma lebih
selesa membiarkan rambutnya yang ikal ditayang di khalayak. Welma
lebih senang mengenakan skirt pendek dan menampakkan kulit kaki yang
halus dan gebu. Mungkin kesalahan tidak boleh seratus peratus diletakkan
atas pundak13 Welma. Pemakaian jilbab sememang diharamkan di negaranya.
Welma juga sepertinya, jauh dari biah14 Islamiah dek dasar-dasar negara
yang tidak memihak kepada syariat samawi15.
“Aku juga bersimpati
terhadapmu,
Fateh,” Fateh sedikit tersentak. Wajah Welma hilang dari pandangan.
“Kamu bersimpati terhadapku?”
Fateh kebingung-bingungan.
“Hakikatnya Fateh, kita
sama-sama
diserang. Bezanya, kami di Palestin diserang secara fizikal sedang umat
Islam di luar sana diasak secara halus,” Safiyya mengurut-urut lembut
tangannya yang telah selesai berganti balutan. Fateh mengangguk-angguk
kecil.
“Contoh paling mudah,
budaya hedonisme.. Umumnya, ideologi hedonistik ini memfokuskan kepada
perkara yang boleh meningkatkan keseronokan dan mengurangkan
perkara-perkara
yang menjuruskan seseorang kepada kesedihan (increasing pleasure and
reduce pain). Tanpa umat Islam sedari, mereka telah disuntik
dengan doktrin16 ini. Al-hasil, lahirlah golongan umat yang tidak
berpijak
di bumi realiti. Mereka meletakkan simbol keseronokan serta kemewahan
sebagai satu prioriti dalam hidup. Hidup bersandarkan angan-angan. Maka
benarlah sabda Baginda SAW junjungan kita, kebaikan generasi pertama umat
ini kerana adanya cita-cita untuk syahid dan keimanan yang tidak
berbelah
bagi. Binasanya generasi akhir umat ini kerana adanya sifat bakhil dan
banyak berangan-angan,” Safiyya menghela nafas. Fateh membisu. Hanya
otaknya ligat mencerna bicara Safiyya.
“Cuba kau teliti semula sejarah
empayar Islam. Fateh, kau akan dapati bahawa jatuhnya empayar
Islam sama ada kerajaan Abasiyyah ataupun Kerajaan Turki Uthmaniyyah
tidak lain dan tidak bukan adalah kerana pemimpin dan rakyat ketika
itu menganuti aliran ini. Hidup berpaksikan keseronokan dan kemewahan.
Enak tenggelam dibuai hiburan melampau. Maka, suburlah penyakit dalam
hati yang disebut Nabi sebagai wahan. Cintakan dunia dan takutkan mati.
Percaya atau tidak, ideologi inilah yang mengunci bicara, memaku gerak
tindak para pemimpin Islam hari ini. Menikus di hadapan Israel kerana
bimbang untuki maju ke hadapan membantah. Khuatir segala keselesaan
yang dikecap akan lenyap,” suara Safiyya sedikit keras. Renungannya
tersimpan amarah yang tidak terungkap. Fateh terus selesa mengambil
sikap mendengar. Fateh hampir lupa, Safiyya mahasiswa tahun akhir dalam
bidang sosiologi dan sejarah di Universiti Islam Gaza. Sebelum sempat
menamatkan pengajian, bangunan kuliah ranap tersungkur di dada
bumi.
“Jihadmu bukan di sini,
Fateh,” lemah
kedengaran di hujung suara gadis dari desa Jebaliya itu. Otot dahi Fateh
tegang. Mulutnya yang sedikit ternganga cepat-cepat digetap.
“Apa salahkah aku ingin menjadi
Salahuddin Al-Ayubbi?” Fateh akhirnya menzahirkan rasa tidak puas
hati yang bergulat dalam diri. Safiyya tersengih. Fateh rasa seolah-olah
cita-citanya diperkecil-kecilkan. Seolah-olah dia tidak layak untuk
menyimpan impian setinggi itu.
“Aku lebih suka engkau menjadi
Al-Fateh. Sesuai dengan namamu Fateh,” ujar Safiyya dalam nada
berseloroh.
“Sultan Muhammad Al-Fateh?”
Fateh ingin kepastian.
“Aku hargai pengorbananmu datang menjejakkan kaki di bumi Palestin ini untuk membantu kami. Ya, sememangnya di sini kami memerlukan bantuan pakar perubatan sepertimu. Namun, antara sedar atau tidak, umat Islam di luar sana jauh lebih sakit dari kami yang sedang terlantar di hospital ini. Mereka lebih perlukan rawatan dan perhatian, Fateh” Safiyya kembali serius.
“Kota Konstantinopel hanya
berjaya dibuka setelah 800 tahun dikhabarkan Rasulullah SAW. Sultan
Muhammad berjaya membuktikan kebenaran sabda baginda dengan usaha yang
tidak sedikit. Sejak kecil baginda telah disuguh17kan bahawa bagindalah
yang akan membuka Konstantinopel. Malah kelahiran Salahuddin sendiri
telah dirancang seawal zaman Imam Al-Ghazali. Inilah jihadmu, Fateh.
Di bahumu tergalas satu tanggungjawab untuk merancang dan melahirkan
generasi sehebat Al-Ayyubi dan secekal Al-Fateh. Hanya generasi berjiwa
besar seperti mereka sahaja yang dapat membumikan cita-cita seluruh
umat Islam yakni melihat masa depan menjadi milik Islam,” berdiri
bulu roma Fateh mendengar hujah Safiyya. Lafaz takbir perlahan-lahan
mercup18 di tubir bibirnya.
“Aku akan pulang ke Turki
dalam tempoh masa terdekat ini,” Fateh menelan air liur. Fateh nekad
pagi itu dia akan berterus terang tentang isi hatinya.
“Safiyya, sudikah engkau
mengikut aku?” kerongkongnya perit. Awalnya, Safiyya tidak menunjukkan
sebarang reaksi. Lambat-lambat Safiyya mengangkat muka, memandang tepat
wajah Fateh.
“Maafkan aku, Fateh, aku
harus terus tinggal di sini. Di sini jihad aku bermula dan bertapak.
Pulanglah engkau ke tanah airmu. Aku ada perjuangan aku dan engkau ada
perjuangan engkau. Biarpun perjuangan berbeza tetapi matlamat kita sama.
Setiap kita harus menjadi secekal Al-Fateh dan segagah Al-Ayyubi andai
kita mahu menawan kembali Baitul Maqdis. Anggaplah Palestin hari ini
ibarat Konstantinopel. Setiap umat Islam seharusnya bercita-cita untuk
menjadi Al-Fateh dan paling tidak pun menjadi seperti
tentera-tenteranya.
Bukankah Sultan Muhammad Al-Fateh itu sebaik-baik raja yang memimpin
sebaik-baik tentera?” Safiyya tega dengan keputusannya. Fateh
tahu dia tiada upaya mengubah fikiran Safiyya. Dari awal lagi dia boleh
mengagak apa jawapan yang bakal diterima. Biarlah. Sekurang-kurangnya
dia tidak terus berteka-teki dan menyimpul andaian sendiri.
“Aku hormati keputusanmu,”
awan pilu berarak menyelubungi wajah Fateh. Fateh berlalu sambil
membujuk19
kalbu. Fateh tidak menyangka itu pertemuan terakhir mereka. Safiyya
menghilangkan diri sejak itu. Tiada siapa nampak kelibatnya lagi di
musytasyfa. Fateh dirundung rasa bersalah. Namun, Fateh yakin Safiyya
pergi bukan kerana jauh hati dengannya.
“Abi! Abi!” Fateh menoleh.
Seorang kanak-kanak lelaki menerpa ke arah Fateh yang sedia mendepangkan
tangan. Welma ayu dalam jilbab hijau pucuk pisang mengekori kanak-kanak
itu di belakang. Jubahnya beralun-alun ditiup angin. Tubuh kecil itu
dirangkul Fateh. Bertubi-tubi ciuman Fateh singgah di pipinya.
“Siapa yang akan menawan
Baitul Maqdis?” Fateh separuh menjerit. Soalan itu seringkali singgah
di cuping telinga anaknya.
“Saya, abi!” sambut anak
kecil seperti biasa. Tangannya dijulang tinggi-tinggi. Satu ciuman
singgah
dipipi munggilnya.
“Kamu pasti, anakku?”
Welma mengangkat kening sambil merapatkan wajahnya ke wajah anaknya
sehingga dahinya mencecah dahi anaknya.
“Saya pasti ummi kerana saya
Salahuddin Al-Ayubbi zaman ini!” Salahuddin petah membalas walaupun
sedikit pelat. Gelak tawa mereka beranak-pinak.
"Terima kasih, Safiyya. Moga
perjuanganmu dan perjuanganku tidak sia-sia," bisik hati Fateh. Tangan
Welma dirangkul. Salahuddin mengeliat kecil dalam dukungan Fateh.
Beriringan mereka berjalan meninggalkan Selat Bosphorus bersama adunan
semangat Al-Fateh dan Al-Ayubbi.
Glosari:
- Bosphorus - Selat Istanbul; sebuah selat yang memisahkan Turki pada bahagian eropah dan bahagian Asia; menghubungkan Laut Marmara dan Laut Hitam
- Konstantinopel - nama lama bagi Instanbul
- bersipongang - bergaung, bergema
- jihat - arah, pihak, sisi
- Atma - jiwa, nyawa
- musytasyfa - hospital
- pandak - pendek
- ghazwah - perang
- At-Tayyar - yang terbang
- Khali - bapa saudaraku; panggilan kepada bapa saudara sebelah ibu
- cekatan - cekap, cepat membuat kerja
- tempo - irama, rentak
- pundak - bahu
- biah - persekitaran
- syariat samawi - agama langit
- doktrin - prinsip atau kepercayaan yg dianggap benar dan satu-satunya yg dapat diterima
- disuguhkan - ditonjolkan, disediakan, dipaparkan
- mercup - timbul atau lahir dengan tiba-tiba
- membujuk - memujuk
cantik!!
ReplyDeletetahniah, jazakallah khier...
AHP..sy copy paste je..hihi..
ReplyDelete