Persoalan kali ini akan menjengkelkan golongan ‘pembela wanita’ yang
beriya-iya mahu ‘membebaskan’ golongan wanita dari cengkaman
‘kezaliman’.
Mungkin ada yang beranggapan bahawa Islam itu zalim, Islam tidak
indah, Islam mengongkong wanita dan macam-macam lagi apabila mendapati
bahawa terdapat berbagai-bagai halangan yang dikenakan ke atas wanita
yang baru sahaja kematian suami. Tidakkah mereka ini patut dibiarkan
bebas untuk ‘menghiburkan hati’ yang sedang sedih? Biarkan sahaja mereka
pergi kenduri-kedara, pergi melancong, window shopping dll…
Apabila kita melihat hukum Allah s.w.t, janganlah kita lihat dari
sudut penzahiran hukum semata-mata. Penilaian kita belum tentu dapat
menyamai penilaian tuhan yang Maha Hebat. Penilaian kita mudah didorong
oleh akal fikiran yang cetek dan diburukkan lagi dengan kehendak nafsu
yang tinggi.
Semenjak saya menulis tentang iddah, timbul banyak persoalan tentang
apa yang tidak boleh dilakukan oleh isteri yang baru sahaja kematian
suami atau dalam erti kata lain, perempuan yang dalam iddah kematian
suami. Saya ditanya, boleh tak itu dan ini…. bila saya kata tak boleh,
respon yang diterima ialah, nak buat juga. Hmmm… berlapang dada lah…
pasti ada hikmahnya.
Saya sendiri sudah melalui fasa iddah kematian suami. Saya sangat
faham situasi ini. Bila kita berada dalam kedudukan yang sangat sukar,
kenalah didik jiwa supaya menyedari bahawa ada orang lain yang lebih
sukar lagi. Saya melalui iddah kematian suami dalam keadaan sarat
mengandung 8 bulan. Ada 4 orang anak lagi yang semuanya masih kecil. Ada
yang masih minta dikendong dan pada masa itu saya tiada pembantu rumah
sepenuh masa. Ibubapa saya pula telah meninggal dunia dan saya tinggal
di Utara, jauh dari adik-beradik yang rata-rata tinggal di Selangor dan
KL. Saya rasa keadaan saya sangat sukar, tapi, saya kena ingat selalu
bahawa ada orang lain yang lebih sukar lagi keadaannya. Bila kita sabar,
maka Allah akan permudahkan kehidupan. Alhamdulillah, syukur pada Allah
s.w.t yang telah ‘menghadiahkan’ untukku ujian ini. Terlalu banyak yang
dipelajari daripada ujian ini.
Kembali kepada topik artikel kali ini.
Wanita yang kematian suami hendaklah beriddah selama 4 bulan 10 hari.
Tetapi jika dia mengandung, maka hendaklah dia beriddah sehingga
bersalin. Tempoh ini digunakan untuk memastikan rahim kosong (bersih)
dan digunakan oleh wanita untuk menyatakan kesedihan atas kematian
suami. Ia juga merupakan fasa perubahan yang sukar dan perlu disokong
oleh kaum keluarga, rakan-taulan dan jiran tetangga.
Terdapat LIMA larangan yang dikenakan ke atas wanita yang kematian suami:
1. bertunang (secara berterus-terang)
2. berkahwin
3. berhias pada diri atau pakaian
4. tidur di rumah selain rumah yang biasa didiami semasa hayat suami
5. keluar dari rumah tanpa ada tujuan penting yang tertentu
PERTAMA: BERTUNANG SECARA BERTERUS-TERANG
Para fuqaha sependapat bahawa wanita yang dalam iddah tidak boleh
bertunang ataupun dipinang dengan cara berterus-terang. Namun jika mahu
dipinang dengan berkias, maka ia diharuskan sebagaimana firman Allah
s.w.t yang bermaksud, “Tiada larangan ke atas kamu tentang apa yang kamu
kiaskan untuk meminang wanita”.
KEDUA: BERKAHWIN
Sebagaimana yang telah disebutkan di awal tadi, tujuan iddah iaitu
untuk memastikan rahim bersih dari benih suami. Firman Allah s.w.t.,
maksudnya: “Dan janganlah melakukan ikatan pernikahan hinggalah sampai
tempoh tangguhnya (iddahnya)”. Ayat ini menjelaskan bahawa wanita yang
dalam iddah tidak boleh bernikah sehinggalah tamat tempoh iddah
tersebut.
KETIGA: BERHIAS DAN BERWANGI-WANGIAN PADA DIRI ATAU PAKAIAN
Wanita dalam iddah wajib menjauhkan diri daripada perhiasan atau
berhias-hias sama ada pada tubuh badan mahupun pada pakaian. Malah
dianjurkan supaya wanita ini menyatakan kesedihan atas kematian suami
dan mengelakkan diri daripada menjadi perhatian lelaki kerana dia berada
dalam fasa dilarang bernikah. Ini dapat mengelakkannya daripada
perkara-perkara terlarang serta menghindari fitnah.
Dalam hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim, Rasulullah s.a.w. ada
menjelaskan bahawa tidak dihalalkan bagi wanita yang beriman kepada
Allah dan Hari Akhirat untuk berkabung lebih dari 3 hari kecuali kerana
(kematian) suami. Baginda seterusnya menjelaskan bahawa wanita yang
kematian suami tidak boleh memakai celak, tidak boleh memakai pakaian
yang berhias-hias dan tidak boleh menggunakan pewangi (perfume), kecuali
jika dia membersihkan diri iaitu dengan sedikit haruman sahaja. [Lihat
penjelasan lanjut dalam Fath al-Bari, jld 9, hlm. 491].
Hadis sahih ini jelas menyatakan bahawa wanita yang kematian suami
dilarang memakai wangi-wangian, berhias pada diri atau pakaian termasuk
memakai barang kemas pada badan. Dalam hal ini, dianjurkan supaya wanita
ini menjauhkan diri daripada memakai pakaian yang menarik perhatian
seperti berwarna terang kerana dikhuatiri akan membawa fitnah dan
keinginan pada lelaki sedangkan dia masih dalam tempoh larangan
berkahwin.
Walau bagaimanapun, tidak semestinya wanita dikehendaki memakai
pakaian berwarna hitam. Hitam ialah lambang berkabung bagi seluruh
penduduk dunia. Harus wanita dalam iddah berpakaian hitam tetapi tiada
larangan untuk dia memakai pakaian berwarna lain.
Diharuskan juga menggunakan pewangi sekadar untuk menghilangkan bau
yang busuk pada badan seperti semasa mandi wajib selepas habis haidh
iaitu digunakan pada faraj.
Diharuskan pula memakai celak untuk perubatan, tetapi jika mahu dipakai untuk kecantikan, maka ia dilarang.
Diwajibkan ke atas wanita untuk tetap menjaga kebersihan seperti
mandi, bersyampu, menyabun badan dll tetapi hendaklah mengelakkan
daripada menggunakan peralatan yang mempunyai wangian atau
sekurang-kurangnya wangiannya sangat sedikit.
KEEMPAT: TIDUR DI RUMAH LAIN
Larangan ini terpakai untuk wanita yang berada dalam iddah kematian suami dan juga iddah perceraian biasa.
Ertinya, dilarang tidur di rumah yang bukan menjadi kebiasaannya tidur semasa masih dalam ikatan perkahwinan.
Firman Allah s.w.t., maksudnya: “Jika kamu menceraikan isteri-isteri
kamu maka ceraikanlah mengikut masanya dan hendaklah isteri-isteri kamu
mengikut iddah dan takutilah Allah tuhan kamu. Janganlah kamu keluarkan
isteri-isteri kamu dari rumah-rumah mereka dan janganlah pula mereka
keluar darinya kecuali jika datang kebinasaan yang jelas.” [Surah
al-Talaq: ayat 1].
Dalil ini terpakai ke atas semua wanita yang berada dalam iddah
bahawa mereka dilarang meninggalkan rumah yang menjadi tempat tinggal
mereka selama ini. Malah suami yang menceraikan juga dilarang menghalau
keluar isteri yang diceraikan. Kelonggaran untuk tinggalkan rumah hanya
dibenarkan jika ‘datang kebinasaan yang jelas’ seperti banjir, rumah
hampir roboh dan sebarang ancaman yang lain.
Hujah ini disokong pula oleh hadis sahih bahawa pada satu ketika
seorang sahabat wanita bernama Furai’ah telah kematian suami dan memohon
kebenaran Rasulullah s.a.w. untuk pulang ke rumah keluarganya. Namun
Rasulullah s.a.w. memerintahkannya untuk terus tinggal di rumah yang
selama ini didiami sehingga habis iddah iaitu 4 bulan 10 hari. Sabda
baginda s.a.w. maksudnya: “Tinggallah tetap di rumah kamu sehingga habis
tempoh tangguh (iddah)”.
KELIMA: KELUAR DARI RUMAH TANPA TUJUAN (KEPERLUAN TERTENTU)
Larangan tidur di rumah lain mempunyai kaitan dengan larangan yang
kelima iaitu tidak dibenarkan keluar dari rumah jika tiada keperluan
atau tujuan tertentu yang penting. Hal ini disepakati oleh majoriti
fuqaha.
Hadis sahih yang diriwayatkan oleh Muslim menjelaskan bahawa Jabir
bin Abdullah berkata, maksudnya: “Ibu saudaraku telah diceraikan,
kemudian dia mahu memetik nakhil (buah kurma) maka seorang lelaki telah
melarangnya (daripada keluar memetik nakhil), maka ibu saudaraku pergi
bertemu Rasulullah s.a.w., maka baginda bersabda: Bahkan pergilah
memetik buah tersebut mungkin kamu dapat bersedekah dengannya atau
melakukan perkara yang baik.”
Para fuqaha mengqiyaskan hadis ini dengan wanita yang dalam iddah
kematian suami bahawa lebih utama lagi untuk membenarkan mereka keluar
rumah terutamanya untuk mencari nafkah kerana tidak ada orang yang
menanggung nafkah mereka. [Sila ambil perhatian bahawa wanita yang
diceraikan, nafkahnya semasa dalam iddah masih ditanggung oleh suami
yang menceraikan. Jika suami engkar, buatlah aduan dan tuntutan di
Mahkamah Syariah].
Dalam satu hadis yang lain, isteri-isteri para syuhada Perang Uhud
yang tinggal berjiran bertemu Rasulullah s.a.w. dan bertanya, maksudnya:
“Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami berasa gusar di malam hari,
bolehkah kami tidur di rumah jiran kami? Apabila siang kami akan pulang
ke rumah kami.” Rasulullah s.a.w. menjawab, “Bercakaplah sesama kamu
tetapi apabila kamu mahu tidur maka kembali setiap wanita ke rumah
masing-masing.”
Dalam kitab-kitab fiqh banyak disebutkan tentang keharusan wanita
dalam iddah kematian suami untuk keluar dari rumah pada waktu siang
tetapi dengan syarat terdapat tujuan tertentu dan penting. Menurut para
fuqaha, antara perkara tersebut ialah seperti untuk mencari nafkah dan
membeli barang keperluan rumah. Dalam mazhab Maliki pula ditambah
penjelasan bahawa perempuan yang berada dalam iddah dilarang keluar
untuk ziarah menziarahi, dilarang keluar berdagang (berniaga) (kecuali
jika itu sumber nafkahnya), dilarang keluar untuk mengucapkan tahniah
(seperti menghadiri majlis perkahwinan, pertunangan, hari jadi dan
kelahiran bayi), dilarang keluar untuk mengucapkan takziah (seperti
menziarahi orang sakit atau kematian) dan dilarang tidur kecuali di
dalam rumahnya sendiri. Majoriti fuqaha juga berpendapat bahawa wanita
yang dalam iddah dilarang mengerjakan haji atau umrah.
Untuk pencerahan lanjut, lihat Bada’i al-Sana’i, al-Syarh al-Saghir, Nihayat al-Muhtaj fi Fiqh al-Syafii dan Kashshaf al-Qina’.
===================
Baiklah, sekarang dengan fikiran terbuka, cuba perhalusi hukum-hakam
yang telah saya nyatakan yang dipetik daripada wahyu Allah serta fikrah
para fuqaha yang tiada tolong tandingnya berbanding kita. Apakah agaknya
hikmah di sebalik undang-undang ini?
Hmm… saya telah melalui fasa ini dan saya telah merasai hikmah peraturan yang ditentukan oleh Allah s.w.t. ini…
Sekarang terserah kepada anda sama ada anda sedang dalam iddah,
mempunyai ibu yang dalam iddah, jiran atau adik-beradik yang dalam iddah
atau sebagainya…. Semua pihak perlu saling faham-memahami situasi
wanita dalam iddah dan saling ingat-mengingatkan jika ada orang yang
anda kenal telah tersilap langkah semasa berada dalam iddah. Bantulah
mereka melalui tempoh peralihan yang sangat perit ini.
Semoga semuanya berada dalam rahmat Ilahi. Kasih sayang Allah s.w.t.
sentiasa mendahului kemurkaannya, maka janganlah kita memilih
kemurkaannya sedangkan azab Allah itu sangat pedih manakala syurga yang
indah dengan ni’mat melimpah ruah menanti wanita mu’minah yang sabar
meniti kehidupan tanpa seorang suami!