Sumber asal-> minda tajdid
Sekali lagi saya merujuk beberapa pandangan al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H). Ini kerana beberapa isu yang dibahaskan semasa di Oxford membabitkan pandangan beliau. Sering saja nama besar itu menarik perhatian saya dalam kajian.
Dewan Ibn Qayyim yang penulis asaskan di Bukit Mertajam, S. Perai.
Ibn Qayyim dan gurunya Ibn Taimiyyah sering dikaitkan dengan aliran salafi. Bahkan ada yang menganggap bahawa pemikiran al-Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab (meninggal 1206H) yang dikaitkan dengan wahabi itu sama seperti Ibn Taimiyyah dan Ibn Qayyim.
Walaupun memang banyak perkara yang Muhammad bin Abdul Wahhab petik dan ambil daripada Ibn Taimiyyah, namun hakikatnya beliau tidak memiliki keluasan ilmu seperti Ibn Taimiyyah dan Ibn Qayyim. Pemikiran Ibn Taimiyyah dan Ibn Qayyim itu lebih menjangkau dan luas ke segala ceruk rantau bidang ilmu dari tauhid sehingga kepada kerohanian, dari akidah sehingga ke falsafah.
Melihat Ibn Taimiyyah dan Ibn Qayyim cuma menerusi jendela Muhammad bin Abdul Wahhab akan memperkecilkan nilai sebenar kedua tokoh reformis yang agung itu. Sudah pasti melihat Ibn Taimiyyah dan Ibn Qayyim dari jendela sesetengah salafis literalis yang muncul di zaman ini akan menzalimi dan menghina kehebatan ilmu kedua tokoh ilmuwan besar itu.
Antara perbahasan Ibn Qayyim yang agak ‘berbeza’ adalah mengenai ruh dalam karyanya ‘Al-Ruh’. Dalam karya ini Ibn Qayyim membincangkan tentang tajuk yang sering dianggap kontroversi iaitu persoalan tentang ruh; apakah mayat mengetahui apabila orang hidup menziarahi, apakah ruh orang mati menziarahi orang hidup, apakah ruh orang hidup dan orang mati bertemu dan pelbagai lagi. Oleh kerana agak aneh jawapan-jawapan Ibn Qayyim tentang hal-hal ini sehingga menyebabkan sesetengah mereka yang beraliran salafi cuba menyatakan kitab ini ditulis sebelum beliau berguru dengan Ibn Taimiyyah.
Namun, kenyataan itu ternafi kerana dalam kitab ini beberapa kali menyebut nama gurunya itu dengan penuh penghormatan. Ini menunjukkan ia ditulis berguru dengan Ibn Taimiyyah dan dari beberapa ungkapannya menunjukkan setelah Ibn Taimiyyah meninggal dunia.
Hakikat Barzakh
Telah lama kitab ini saya beli. Sejak saya belajar ijazah pertama di Jordan lagi. Namun, saya tidak memberikan masa yang memadai untuk menelaahnya. Apabila sahabat dan jiran saya yang turut menjadi felow di OCIS, Oxford; Sayyed Shahabeddin Mesbahi penulis buku Method and Mysticism, berbual berjam-jam pada suatu malam tentang alam barzakh, menyebabkan saya kembali mengingati buku ini. Huraian beliau tentang barzakh telah mengetuk fikiran saya untuk kembali melihat persoalan ini.
Apakah itu hakikat barzakh? Apakah ruh yang dibawa ke barzakh masih dapat mengingati apa yang telah mereka lalui di dunia ini? Lebih dari itu, apakah mereka yang berada di alam barzakh dapat mengetahui perkembangan tertentu di dunia ini? Inilah antara persoalan yang dilontarkan oleh ramai sarjana lepas, termasuk Ibn Qayyim dalam buku khusus tentang hal ini dan persoalan ini juga diminati oleh ramai penulis Barat dan pelbagai penulis filem di seluruh dunia. Persoalan ini mungkin kurang menarik bagi sesetengah pihak, namun bagi sesiapa yang kematian orang yang dikasihi, mungkin perkara berlegar dalam fikirannya. Juga kepada sesiapa yang mempunyai pengalaman tentang hal ini seperti sahabat saya Presiden IRF.
Kita pada hakikatnya makhluk bersosial. Kehidupan ini terbina atas hubungan kita dengan makhluk lain; manusia dan alam. Apabila kita mati, tubuh kita mungkin hancur menjadi tanah, namun ruh kita membawa bersamanya sejuta kenangan tentang kehidupannya di alam ini. Ruh akan terus mengingati keluarganya, sahabat handainya, kediamannya dan segala yang pernah dilalui.
Al-Quran menceritakan tentang keadaan ahli syurga apabila melihat buah-buahan di sana, lalu mengingati buah-buahan yang pernah mereka makan di dunia dahulu. Firman Allah: (maksudnya)
“dan berilah khabar gembira kepada mereka yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; tiap-tiap kali mereka diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan syurga itu, mereka berkata: “Inilah yang telah diberikan kepada ami dahulu”; dan mereka diberikan rezeki itu yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya), dan disediakan untuk mereka dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lama”. (Surah al-Baqarah: 25).Jika di akhirat insan masih mengingati apa yang telah dilalui di dunia, sehingga rupa buah-buahan pun masih segar di ingatan, inikan pula perkara-perkara yang lebih besar. Sebelum akhirat bermula, setiap ruh akan berada di alam barzakh. Membawa bersamanya jutaan kenangan tentang kehidupan yang telah dilalui.
Apakah ruh insani akan berenang kesepian dalam alam barzakh yang maha luas itu? Atau mungkin bersosial di alam baru? Atau apakah masih ada ruang untuk ruh berjenguk perkembangan alam duniawi; kaum keluarganya, negaranya, sahabat handainya dan perkara-perkara yang Allah izinkan untuknya. Apakah ruh akan mengetahui beberapa tindakan sesiapa yang dikenalinya di dunia? Perkara-perkara ini dibahaskan oleh ramai sarjana muslim berasaskan riwayat-riwayat yang pelbagai dan penilaian yang berbeza pula.
Kita tahu Nabi s.a.w melarang kita menyakiti mayat antaranya sabda baginda dalam hadis yang sahih:
“Mematahkan tulang mayat sama seperti mematahkan tulang orang hidup” (Riwayat Malik, Abu Daud, Ibn Majah dll).Banyak hikmah atas larangan tersebut, antaranya kerana mayat itu mempunyai empunyanya yang telah ke alam barzakh. Menyakiti mayat, akan menyakiti perasaan ruhnya. Ini antara tafsiran yang diberikan. Hakikat insan ialah ruhnya, tanpa ruh hanya tinggal tubuh yang tidak bernyawa. Walaupun tubuh sudah mati, ruh terus hidup dengan caranya yang tersendiri.
Ahli Kubur
Kita juga diajar oleh Nabi s.a.w agar memberikan salam kepada ahli-ahli kubur apabila kita melalui kawasan perkuburan. Pasti mereka mengetahui salam kita, jika tidak masakan kita disuruh memberi salam kepada batu dan kayu. Kata Ibn Qayyim:
“Nabi telah syariatkan umatnya agar ketika memberikan salam kepada ahli kubur hendaklah memberi salam seperti kepada mereka yang mendengar ucapan dengan menyebut ‘salam sejahtera kepada kamu wahai para penduduk yang beriman’. Ucapan ini untuk sesiapa yang mendengar dan berakal, jika tidak ucapan itu hanya seperti bercakap kepada sesuatu tidak wujud dan kaku. Ulama salaf telah bersepakat mengenai hal ini dan terdapat riwayat-riwayat yang mutawatir daripada mereka bahawa mayat mengetahui ziarah orang hidup dan bergembira dengannya”. (Ibn Qayyim, al-Ruh, m/s 140, Jordan: Maktabah al-Manar).Di sana ada riwayat yang dinilai sahih oleh Ibn al-Mubarak, ‘Abd al-Barr, ‘Abdal-Haq al-Ashbili, Ibn Taimiyyah, Ibn Qayyim dan lain-lain, di mana Nabi s.a.w bersabda:
“Tiada seorang yang melintasi kubur saudaranya yang mukmin yang dia kenalinya dahulu di dunia, lalu memberi salam, melainkan dia (si mati) mengenalinya dan menjawab salamnya”.Ibn Qayyim juga turut membahaskan apakah ruh orang yang mati boleh bertemu ruh orang hidup? Kata Ibn Qayyim:
“Apakah ruh mereka yang hidup dapat bertemu dengan ruh mereka yang mati? Bukti dan dalil dalam perkara ini sangat banyak, tidak dapat dihitung melainkan Allah. Perasaan (sense) dan realiti antara bukti terkuat bahawa berlakunya pertemuan ruh orang hidup dan orang mati seperti mana bertemunya ruh orang hidup sesama sendiri” (al-Ruh m/s 173).Kemudian Ibn Qayyim mengemukakan pelbagai hujah yang dimulakan dengan firman Allah (maksudnya) :
“Allah yang mewafatkan jiwa-jiwa dari badan-badan; ketika matinya, dan ketika tidak mati semasa tidurnya; kemudian Dia menahan jiwa orang yang Dia tetapkan kematiannya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir”. (Surah al-Zumar: 42).Demikian ruh datang dan pergi dari jasad. Ada yang hidup semula, ada yang mati tidak kembali ke jasad. Kata Ibn ‘Abbas ketika menafsirkan ayat di atas:
“Telah sampai kepadaku bahawa ruh orang hidup bertemu ruh orang mati dalam tidur. Mereka bertanya antara satu sama lain. Allah menahan ruh orang yang mati dan melepaskan kembali ruh orang yang hidup ke jasadnya”.Kesimpulan Ibn Qayyim dan tokoh-tokoh yang lain bahawa kematian dan perpindahan insan ke alam barzakh masih mempunyai ruang untuk insan berhubung atau mengetahui kadar tertentu kejadian di dunia ini. Dari cebisan ilmu kita cuba memahami perkara ini. Namun, kita akhir menyebut firman Allah (maksudnya)
“dan mereka bertanya kepadamu tentang ruh. Katakanlah: “Ruh itu dari urusan Tuhanku dan kamu tidak diberikan ilmu melainkan sedikit sahaja”. (Surah al-Isra: 85).
No comments:
Post a Comment