Sunday, September 25, 2011

Al-Fatihah untuk aki..

assalamaualaikum..

sudah lama rasanya saya tidak menulis di sini, entry kebelakangan ini pun cuma copy paste saja..huhu..

selama 30 tahun lebih, saya bahagia dan gembira punya sepasang datuk (selepas ini digelar aki) dan nenek (yang kami panggil wan) yang penyayang. kami adik beradik memang rapat dengan aki dan wan kerana keluarga kami antara kelurga yang menetap paling dekat dengan kampung aki dan wan (sebelum tiga orang pak sedara balik kampung dan buat rumah di kampung). hampir setiap kali raya selama 30 tahun lebih, kami akan beraya di kampung loyang, sanggang, Temerloh Pahang. sewaktu kecil-kecil dulu, apabila balik kampung, sesampainya rumah kayu aki dan wan, pasti yang kai akan cari mula2, mana wan, mana aki..bersalam-salaman dan turun bermain..sangat seronok. dengan kehadiran paya di belakang rumah wan dan sungai pahang di depan rumah wan, menjadikan tujuan kami untuk balik kampung betul2 untuk meneroka alam.

begitu juga bila tahun demi tahun berlalu, perkara yang sama berlaku. sampai rumah wan, mesti cari wan, cari aki..aki yang tak pernah lekat kat rumah..selalunya kami jumpa aki kat kebun dia, tepi paya dan mana2 lagi 'port' kesukaan dia. wan seorang yang sangat peramah dan sporting, suka layan cucu-cucunya. aki pula pendiam, juga suka layan cucu-cucunya. umur aki sudah 93thn dan wan pula 83thn..

sejak 3 bulan yang lalu, kami semakin kerap balik kampung. aki sudah semakin uzur. dia tidak punya penyakit orang-orang zaman sekarang, tiada sakit jantung, tiada kencing manis, tiada darah tinggi. dan dia tidak pernah berpantang ketika makan. Alhamdulillah Allah beri kesihatan padanya sedari muda. mungkin sebab kesungguhan dia mencari rezeki untuk anak-anaknya, dan kesusahan masa lalunya, Allah beri nikmat kesihatan padanya. cuma tiga bulan yang terakhir ini dia semakin uzur akibat sakit tua. semakin hari, keadaannya makin uzur dan semakin uzur. bergilir2 la anak cucu balik kampung menjaganya. dia tidak pernah merungut sepanjang terlantarnya dia. Setiap kali terjaga dari tidur, perkara petama yang ditanya, dah masuk waktu solat? nak minta tolong ambilkan wudhuk untuk bersolat..hanya itu saja keinginannya. sanggup dia lewatkan makan atau tidak minum untuk solat terlebih dahulu..rasanya dalam hatinya cuma, nak solat, nak solat dan nak solat..bayangkan sewaktu dia masih mampu berjalan dengan tongkat, dia tetap mahu soalt berjemaah di masjid. sehinggakan saat dia ingat2 lupa jalan pulang ke rumahnya, pernah dia tersesat di malam hari selepas pulang dari berjemaah Isyak, mujurlah sepupu saya menemuinya di tepi belukar,katanya dia sesat, tak ingat jalan pulang ke rumah. beberapa kali juga dia rebah jatuh ketika dalam perjalanan ke masjid.

 aki berbaju coklat sepasang dengan wan..Aidilfitri 2010..

Dan pada hari Jumaat, 23 September 2011 yang lalu..jam 7pg++..aki telah kembali ke rahmatullah..aki pulang dengan tenang, setenang-tenangnya. seolah-olah dia tidur saja. sejak sebulan yang lalu jua, banyak kali dia memberitahu yang dia akan balik..balik ke hulu (tanah perkuburan di sebelah hulu kampung). dan pada pagi Rabu yang lalu, dia bertanya pada ayahde..hari apa hari ni?ayahde cakaplah hari Rabu, dia kata, hari Jumaat ni dia nak balik dah ke hulu..betul bagai dikata, pagi Jumaat itu dia pergi, pergi yang tidak lagi kembali.Allahu Rabbi...sudah sampai masanya, tidak Engkau lambatkan sesaat atau cepatkan sesaat..
Jeanazah di solatkan selepas solat Jumaat. Ramai jemaah hari tu. kami adik beradik menghantar aki sehingga ke tanah perkuburan dan selesai urusan pengkebumian jam 3ptg..

kehilangan dia sangat dirasai. apabila melangkah masuk rumah wan, mesti terbayang tempat pembaringannya. sejak tiga bulan yang lalu, aki diterpa apabila melangkah masuk ke dalam rumah wan..dan kini aki tiada lagi..semoga Allah mencucuri rahmat keatas aki dan tempatkan aki dikalangan orang-orang yang soleh. amin..



Saturday, September 10, 2011

secekal Al-Fateh,segagah Al-Ayyubi

Bayu Bosphorus1 bertiup manja. Kadang-kadang nakal menampar-nampar lembut wajah Fateh. Bau masin laut menerawang di ruang udara. Berebut-rebut menerobos indera hidunya. Indera lihatnya tidak puas-puas merakam keindahan pagi di tebing Bosphorus walaupun acapkali dia ke mari. Bogaziçi, begitulah gelaran untuk selat ini dalam bahasa Turki. Dari jauh sayup-sayup kelihatan pelabuhan Golden Horn. Di pelabuhan itulah suatu ketika dulu 70 buah kapal milik pasukan tentera Sultan Muhammad Al-Fateh mendarat. Gempar Maharaja Konstantine ketika itu. Apa tidaknya, kapal-kapal itu dipindahkan menggunakan jalan darat. Kapal-kapal itu diluncurkan melalui Semenanjung Fera sejauh tiga batu sebelum sampai ke Pelabuhan Golden Horn. Sungguh, Sultan Muhammad Al-Fateh berjaya menukar daratan menjadi lautan, melayarkan kapalnya di puncak gunung dan bukan di ombak lautan. Dalam-dalam Fateh manarik nafas. Matanya kejap dipejam. Seolah-olah mencari semangat Sultan Muhammad Al-Fateh yang masih tersisa di selat itu.


“Setiap kita harus menjadi secekal Al-Fateh dan segagah Al-Ayyubi andai kita mahu menawan kembali Baitul Maqdis. Palestin hari ini ialah Konstantinopel2. Setiap umat Islam seharusnya bercita-cita untuk menjadi Al-Fateh dan paling tidak pun menjadi seperti tentera-tenteranya. Bukankah Sultan Muhammad Al-Fateh itu sebaik-baik raja yang memimpin sebaik-baik tentera?”



Kata-kata Safiyya bersipongang3 di segenap jihat4 fikiran Fateh. Atma5nya dijentik sebak.


sultan


“Bagaimana tanganmu, Safiyya? Masih sakit lagi?” sapa Fateh. Dalam kesibukan merawat pesakit-pesakit di musytasyfa6, Fateh sempat lagi mencuri ruang menjenguk Safiyya. Keadaan dalam hospital semakin sesak. Setiap inci tempat ada sahaja batang tubuh yang terbaring memerlukan bantuan perubatan. Entah sampai bila bangunan Musytasyfa al-Syifa ini boleh terus berdiri untuk menampung jumlah pesakit yang tidak menunjukkan tanda-tanda akan surut.

Safiyya sekadar menguntum senyum pada pemuda berkumis nipis berjanggut pandak7 itu. Fateh memeriksa keadaan tangan Safiyya.


“Andai aku hilang tangan kanan, aku masih punya tangan kiri untuk terus berjuang,”  mata Safiyya bersinar galak. Tiada tergambar garis-garis kecewa pada air mukanya. Fateh terkesima. Teringat dia kisah Jaafar bin Abi Thalib dalam ghazwah8 Mu’tah. Walaupun kedua-dua tangannya dicantas musuh, panji yang diamanahkan oleh Rasululah tidak dibenarkan mencium tanah. Dipeluk panji dengan kedua-dua lengannya. Rasa kagum pada sahabat nabi yang bergelar At-Tayyar9 itu kini turut singgah pada Safiyya.

Abi ada datang menziarahiku?” suara gadis itu sedikit kendur. Safiyya dalam keadaan tidak sedarkan diri ketika dia dihantar ke hospital tempoh hari. 

“Err...” Fateh gugup. Dia hilang bicara. Sebetulnya Basil Mustapha tidak pernah kembali sejak dia menghantar anak gadisnya.
“Apa kamu bimbang aku tidak tega mendengar berita kesyahidannya?” Safiyya menduga. Khali10.
“Bahkan itu jawapan yang paling aku nanti,” sejenak pandangan mereka bersatu.
“Aku tidak punya jawapan untuk soalanmu itu. Yang pasti, abimu tidak pernah kembali sejak dia menghantar kamu ke sini,” Fateh gagahi diri untuk berterus-terang. Lebih dua puluh hari Safiyya menanggung derita akibat peluru yang terbenam di bahu kanannya. Andai Basil Mustapha, ayahnya lewat sehari menghantarnya di Musytasyfa Al-Syifa itu, Safiyya bakal kehilangan anugerah Allah itu. Otot tangannya  terurai. Tisu dagingnya mati dan saraf tangan Safiyya hancur lumat. Semuanya gara-gara bedilan  rejim zionis yang menggila di Gaza. Fateh tambah bengang apabila mengetahui Safiyya pernah cuba dihantar menjalani pembedahan di hospital Kaherah, Mesir melalui pintu sempadan Rafah beberapa hari selepas terkena tembakan. Namun gara-gara sekatan di sempadan, Safiyya gagal dibawa keluar dan tersadai tidak terbela di pintu sempadan Rafah sebelum Basil Mustapha membawa Safiyya kembali ke Gaza.

“Aku sedang membantu ummi di kedai runcit kami ketika tiba-tiba kami dihujani tembakan peluru si zionis. Ummi terkorban. Begitu juga adikku Soufiyyan,” Safiyya membetulkan jilbabnya yang hampir melorot ke belakang. Beberapa helai rambut yang terjurai di dahi segera disusup ke dalam jilbab hitamnya. Cekatan11 Fateh membuka balutan di tangan Safiyya. Bekas luka dicuci penuh berhati-hati. Lurah-lurah kecil terbentuk di dahi Safiyya. Dia menyeringai kesakitan.
 
Jabeliya, tempat tumpah darah Safiyya ialah kawasan terawal yang menjadi sasaran bedilan tentera Israel. Kawasan yang suatu masa dahulu meriah dengan rimbunan pokok zaitun, deretan rumah dan beberapa bangunan kilang kini menjadi padang jarak padang terkukur. Tiada yang tersisa melainkan serpihan-serpihan batu bata yang berselerakan di sana sini.


“Aku bersimpati terhadapmu, Safiyya. Begitu juga dengan mereka yang senasib denganmu,” Fateh meluahkan rasa simpati. Wajah Safiyya diseluruhi. Senyumannya yang kini membuat Fateh tidak lena tidur malam. Lirik matanya benar-benar buat Fateh tidak keruan. Fateh dapat merasakan denyutan jantungnya menyalahi tempo12 setiap kali berhadapan dengan gadis dari Desa Jabeliya itu. Kadang –kala lidahnya jadi kelu ibarat mulutnya penuh disumbat batu. Keteguhannya memelihara syariat Ilahi membuatkan Fateh tambah jatuh hati. Biarpun sakit dan berada dalam kesulitan suasana perang, jilbab masih lekat di kepala. Saat itu dia terkenang  Welma, kekasihnya. Welma tidak kalah jika hendak dibandingkan dengan Safiyya. Cuma bezanya, Welma lebih selesa membiarkan rambutnya yang ikal ditayang di khalayak.  Welma lebih senang mengenakan skirt pendek dan menampakkan kulit kaki yang halus dan gebu. Mungkin kesalahan tidak boleh seratus peratus diletakkan atas pundak13 Welma. Pemakaian jilbab sememang diharamkan di negaranya. Welma juga sepertinya, jauh dari biah14 Islamiah dek dasar-dasar negara yang tidak memihak kepada syariat samawi15.


“Aku juga bersimpati terhadapmu, Fateh,” Fateh sedikit tersentak. Wajah Welma hilang dari pandangan.
“Kamu bersimpati terhadapku?” Fateh kebingung-bingungan.

 
 
panglima
 


“Hakikatnya Fateh, kita sama-sama diserang. Bezanya, kami di Palestin diserang secara fizikal sedang umat Islam di luar sana diasak secara halus,” Safiyya mengurut-urut lembut tangannya yang telah selesai berganti balutan. Fateh mengangguk-angguk kecil.


“Contoh paling mudah,  budaya hedonisme.. Umumnya, ideologi hedonistik ini memfokuskan kepada perkara yang boleh meningkatkan keseronokan dan mengurangkan perkara-perkara yang menjuruskan seseorang kepada kesedihan (increasing pleasure and reduce pain). Tanpa umat Islam sedari, mereka telah  disuntik  dengan doktrin16 ini. Al-hasil, lahirlah golongan umat yang tidak berpijak di bumi realiti. Mereka meletakkan simbol  keseronokan serta kemewahan sebagai satu prioriti dalam hidup. Hidup bersandarkan angan-angan. Maka benarlah sabda Baginda SAW junjungan kita, kebaikan generasi pertama umat ini kerana adanya cita-cita untuk syahid dan keimanan yang tidak berbelah bagi. Binasanya generasi akhir umat ini kerana adanya sifat bakhil dan banyak berangan-angan,” Safiyya menghela nafas. Fateh membisu. Hanya otaknya ligat mencerna bicara Safiyya.


“Cuba kau teliti semula sejarah empayar Islam.  Fateh, kau akan dapati bahawa jatuhnya empayar Islam sama ada kerajaan Abasiyyah ataupun Kerajaan Turki Uthmaniyyah tidak lain dan tidak bukan adalah kerana pemimpin dan rakyat ketika itu menganuti aliran ini. Hidup berpaksikan keseronokan dan kemewahan. Enak tenggelam dibuai hiburan melampau. Maka, suburlah penyakit dalam hati yang disebut Nabi sebagai wahan. Cintakan dunia dan takutkan mati. Percaya atau tidak, ideologi inilah yang mengunci bicara, memaku gerak tindak para pemimpin Islam hari ini. Menikus di hadapan Israel kerana bimbang untuki maju ke hadapan membantah.  Khuatir segala keselesaan yang dikecap akan lenyap,” suara Safiyya sedikit keras. Renungannya tersimpan amarah yang tidak terungkap. Fateh terus selesa mengambil sikap mendengar. Fateh hampir lupa, Safiyya mahasiswa tahun akhir dalam bidang sosiologi dan sejarah di Universiti Islam Gaza. Sebelum sempat menamatkan pengajian, bangunan kuliah ranap tersungkur di dada bumi.


“Jihadmu bukan di sini, Fateh,” lemah kedengaran di hujung suara gadis dari desa Jebaliya itu. Otot dahi Fateh tegang. Mulutnya yang sedikit ternganga cepat-cepat digetap.


“Apa salahkah aku ingin menjadi Salahuddin Al-Ayubbi?” Fateh akhirnya menzahirkan rasa tidak puas hati yang bergulat dalam diri. Safiyya tersengih. Fateh rasa seolah-olah cita-citanya diperkecil-kecilkan. Seolah-olah dia tidak layak untuk menyimpan impian setinggi itu.


“Aku lebih suka engkau menjadi Al-Fateh. Sesuai dengan namamu Fateh,” ujar Safiyya dalam nada berseloroh.


“Sultan Muhammad Al-Fateh?” Fateh ingin kepastian.

“Aku hargai pengorbananmu datang menjejakkan kaki di bumi Palestin ini untuk membantu kami. Ya, sememangnya di sini kami memerlukan bantuan pakar perubatan sepertimu. Namun, antara sedar atau tidak, umat Islam di luar sana jauh lebih sakit dari kami yang sedang terlantar di hospital ini. Mereka lebih perlukan rawatan dan perhatian, Fateh” Safiyya kembali serius.


“Kota Konstantinopel hanya berjaya dibuka setelah 800 tahun dikhabarkan Rasulullah SAW. Sultan Muhammad berjaya membuktikan kebenaran sabda baginda dengan usaha yang tidak sedikit. Sejak kecil baginda telah disuguh17kan bahawa bagindalah yang akan membuka Konstantinopel. Malah kelahiran Salahuddin sendiri telah dirancang seawal zaman Imam Al-Ghazali. Inilah jihadmu, Fateh. Di bahumu tergalas satu tanggungjawab untuk merancang dan melahirkan generasi sehebat Al-Ayyubi dan secekal Al-Fateh. Hanya generasi berjiwa besar seperti mereka sahaja  yang dapat membumikan cita-cita seluruh umat Islam yakni melihat masa depan menjadi milik Islam,” berdiri bulu roma Fateh mendengar hujah Safiyya. Lafaz takbir perlahan-lahan mercup18 di tubir bibirnya.


“Aku akan pulang ke Turki dalam tempoh masa terdekat ini,” Fateh menelan air liur. Fateh nekad pagi itu dia akan berterus terang tentang isi hatinya.


“Safiyya, sudikah engkau mengikut aku?” kerongkongnya perit. Awalnya, Safiyya tidak menunjukkan sebarang reaksi. Lambat-lambat Safiyya mengangkat muka, memandang tepat wajah Fateh.

“Maafkan aku, Fateh, aku harus terus tinggal di sini. Di sini jihad aku bermula dan bertapak. Pulanglah engkau ke tanah airmu. Aku ada perjuangan aku dan engkau ada perjuangan engkau. Biarpun perjuangan berbeza tetapi matlamat kita sama. Setiap kita harus menjadi secekal Al-Fateh dan segagah Al-Ayyubi andai kita mahu menawan kembali Baitul Maqdis. Anggaplah Palestin hari ini ibarat Konstantinopel. Setiap umat Islam seharusnya bercita-cita untuk menjadi Al-Fateh dan paling tidak pun menjadi seperti tentera-tenteranya. Bukankah Sultan Muhammad Al-Fateh itu sebaik-baik raja yang memimpin sebaik-baik tentera?”  Safiyya tega dengan keputusannya. Fateh tahu dia tiada upaya mengubah fikiran Safiyya. Dari awal lagi dia boleh mengagak apa jawapan yang bakal diterima. Biarlah. Sekurang-kurangnya dia tidak terus berteka-teki dan menyimpul andaian sendiri.


“Aku hormati keputusanmu,” awan pilu berarak menyelubungi wajah Fateh. Fateh berlalu sambil membujuk19 kalbu. Fateh tidak menyangka itu pertemuan terakhir mereka. Safiyya menghilangkan diri sejak itu. Tiada siapa nampak kelibatnya lagi di musytasyfa. Fateh dirundung rasa bersalah. Namun, Fateh yakin Safiyya pergi bukan kerana jauh hati dengannya.


Salahudin


Abi! Abi!” Fateh menoleh. Seorang kanak-kanak lelaki menerpa ke arah Fateh yang sedia mendepangkan tangan. Welma ayu dalam jilbab hijau pucuk pisang mengekori kanak-kanak itu di belakang. Jubahnya beralun-alun ditiup angin. Tubuh kecil itu dirangkul Fateh. Bertubi-tubi ciuman Fateh singgah di pipinya.


“Siapa yang akan menawan Baitul Maqdis?” Fateh separuh menjerit. Soalan itu seringkali singgah di cuping telinga anaknya.


“Saya, abi!” sambut anak kecil seperti biasa. Tangannya dijulang tinggi-tinggi. Satu ciuman singgah dipipi munggilnya.
“Kamu pasti, anakku?” Welma mengangkat kening sambil merapatkan wajahnya ke wajah anaknya sehingga dahinya mencecah dahi anaknya.


“Saya pasti ummi kerana saya Salahuddin Al-Ayubbi zaman ini!” Salahuddin petah membalas walaupun sedikit pelat. Gelak tawa mereka beranak-pinak.


"Terima kasih, Safiyya. Moga perjuanganmu dan perjuanganku tidak sia-sia," bisik hati Fateh. Tangan Welma dirangkul. Salahuddin mengeliat kecil dalam dukungan Fateh. Beriringan mereka berjalan meninggalkan Selat Bosphorus bersama adunan semangat Al-Fateh dan Al-Ayubbi.

 


Glosari:
  1. Bosphorus - Selat Istanbul; sebuah selat yang memisahkan Turki pada bahagian eropah dan bahagian Asia; menghubungkan Laut Marmara dan Laut Hitam
  2. Konstantinopel - nama lama bagi Instanbul
  3. bersipongang - bergaung, bergema
  4. jihat - arah, pihak, sisi
  5. Atma - jiwa, nyawa
  6. musytasyfa - hospital
  7. pandak - pendek
  8. ghazwah - perang
  9. At-Tayyar - yang terbang
  10. Khali - bapa saudaraku; panggilan kepada bapa saudara sebelah ibu
  11. cekatan - cekap, cepat membuat kerja
  12. tempo - irama, rentak
  13. pundak - bahu
  14. biah - persekitaran
  15. syariat samawi - agama langit
  16. doktrin - prinsip atau kepercayaan yg dianggap benar dan satu-satunya yg dapat diterima
  17. disuguhkan - ditonjolkan, disediakan, dipaparkan
  18. mercup - timbul atau lahir dengan tiba-tiba
  19. membujuk - memujuk

Monday, September 5, 2011

ceritera raya..

assalamualaikum..

Alhamdulillah..masih dipanjangkan usia menjengah bulan syawal ini..meninggalkan ramadhan yang mulia..semoga ketemu lagi di tahun hadapan..

first syawal-seperti biasa, akan bergegas pulang ke kampung halaman di Kg Loyang, Sanggang, Temerloh Pahang. selalunya awal sikit keluar utk memastikan kami semua sempat bersolat sunat hari raya di kampung, tapi syawal kali ini, keluar agak lewat..makanya..merempitlah kami semua sebanyak 3 buah kereta..kereta saya yang di depan sekali..dan sewaktu sampai di kem durian tunggal yang sudah ditinggalkan (kem itu tidak lagi digunakan) seekor babi hutan (babi tunggal) melintas di depan keretaku..mujurlah sempat brek..dalam keadaan kelam kabut mengejar masa, kereta plak dlm kelajuan 130km/j di jln kampung, kehadiran si makhluk Allah itu sangat mengejutkan saya si driver.. mujurlah Allah menyelamatkan kami dan masih mengizinkan kami berjemaah solat sunat aidilfitri tahun ini..alhamdulillah..moralnya, bersiap siaga terlebih dahulu..betapa pentingnya menepati masa.. 

raya kedua-syawal kali ini agak berbeza kerana keadaan aki yang semakin uzur. terbaring lemah mengundang sayu di hati. tapi, satu yang dapat kulihat, aki akan tersenyum dan tergelak kalau muhammad fathi bersalam dan mencium pipi tuanya..saya gembira melihat senyuman di sebalik lelahnya dia.pun begitu, raya kedua dia bersemangat utk ke rumah enjang yang buat open house dan house warming..sampai kena angkat dan letak aki kat kerusi roda dia..tapi puas hati sebab dapat tunaikan hasrat aki nak tengok rumah enjang. dalam pukul 11, saya bertolak balik ke kg relai, Kuala Lipis..sangatlah mendebarkan kerana hanya berdua dengan Muhammad fathi sahaja, tapi alhamdulillah..Allah bersama kami..muhammad fathi tidur di sepanjang separuh perjalanan, dan separuh perjalanan lagi, kami hanya berbual- moralnya, tawakkal hanya pada Allah..insyaAllah ada jalan keluar..

sehingga sabtu, saya masih berada di Kuala Lipis..air masih menjadi masalah utama di sana, dari jam 10pg hingga 11 mlm, penduduk kampung akan keputusan bekalan air. urusan mandi, membasuh kain dan pinggan mangkuk hanya akan dilakukan pada sebelah malam..saat ini terasa betapa nikmatnya kurniaan Allah yang jernih itu..betapa beharga nya setitik air. betullah kita akan lebih menghargai apabila ianya sudah tiada.

sabtu- saya terlepas satu acara yang sangat saya tunggu. Allah tidak mengizinkan saya berada di sana, mungkin ada rezeki, ada umur..insyaAllah tahun depan saya akan menyertainya..

Ahad- keadaan adik saya yang mengidap SLE itu sangat membimbangkan.rancangan asalnya, saya akan menghantarnya ke klinik awal pagi, namun disebabkan kehadiran tetamu dari terengganu, juga rakan serumah saya suatu ketika dulu di sarawak, urusan kliniknya ditangguhkan hinggalah Allah izinkan kami bertamu di Klinik Sulaiman Temerloh jam 6.30ptg. berada di sana hinggalah 7.30mlm. Doktor hanya menggeleng kepala melihat keadaannya. memberi dua pilihan, samada ingin dihantar ke hospital atau sekadar menerima dan memakan bekalan ubat yang akan dibekalkan. pilihan kedua dpilih, bukan apa..kesnya ada di HUKM dan telah menjadi pengajaran pada kami, bagaimana doktor2 di HOSHAS yang terpaksa merefer dan merujuk pada satu ke satu ke doktor yang berlainan hingga akhirnya dia terpaksa di refer ke HUKM jua akhirnya. lagipun adik saya sangatlah anti pada nurse2 pelatih di HOSHAS satu ketika dulu yang membuatkan tangan kecilnya menjadi lebam2 akibat susah nak cari urat utk mengambil darah! alhamdulillah, hari ini keadaan dia semakin cerah..insyaAllah biiznillah..



eddah wanita hamil..ingatan semula..

Selepas bebeapa kali diajukan soalan tentang iddah wanita yang sedang mengandung, barulah saya sedar bahawa semasa membahaskan topik iddah, saya terlupa untuk mencatatkan tentang iddah wanita mengandung.

Tempohari (errr… lama dulu sebenarnya!) ada saya catatkan bahawa bagi perempuan yang kematian suami ketika sedang mengandung, maka iddahnya tamat apabila dia bersalin, tidak kira sama ada tempoh mengandungnya panjang ataupun pendek, atau sama ada kandungannya cukup bulan atau pun tidak.
Dalam hal ini sebenarnya ada perbincangan panjang antara fuqaha sama ada hendak dikira sehingga wanita ini bersalin ataupun melihat kepada tempoh yang paling panjang (ab’ad al-ajalayn) kerana ada pertindihan dua faktor pengiraan iddah, iaitu kematian dan kehamilan. Perbahasan lanjut hal ini boleh dirujuk dalam kitab-kitab fiqh munakahat.


Namun, mengikut pandangan yang paling kuat, tempoh iddah wanita ini habis apabila dia bersalin (berasaskan ayat ke 4 Surah al-Talaq). Mmm… diulangi, … apabila dia bersalin. Jangan ada pula yang tanya, “Kena tunggu habis nifas ke baru habis iddah?”
Baiklah, kembali kepada topik iddah untuk wanita yang hamil.
Disebutkan dalam Surah al-Talaq ayat yang ke 4, maksudnya:
“Dan bagi wanita-wanita yang hamil, maka ‘ajal’ (tempoh iddah) mereka tamat apabila mereka bersalin.”
Berdasarkan ayat ini, difahami bahawa tempoh iddah bagi perempuan yang diceraikan ketika sedang hamil akan berakhir apabila dia bersalin. Hukum ini mudah difahami kerana antara sebab diwajibkan iddah ialah untuk memastikan rahim wanita tersebut bersih daripada percampuran benih lelaki. Jadi, apabila dia bersalin, maka anak hasil percampuran dengan benih suami telah keluar dan rahimnya telah bersih. Bersih dalam erti kata, tiada benih lelaki dan tiada janin di dalam rahim.

Banyak lagi dalil-dalil daripada hadis yang menyokong hukum ini, namun, memadailah jika saya jelaskan dengan ayat di atas sahaja kerana ia sudah terang, maka apa lagi nak disuluh-suluh. Simpan je torch light tu. Jimat tenaga, barulah lestari.

eddah serta larangannya


diambil sepenuhnya dari http://drhasanah.com


Persoalan kali ini akan menjengkelkan golongan ‘pembela wanita’ yang beriya-iya mahu ‘membebaskan’ golongan wanita dari cengkaman ‘kezaliman’.

Mungkin ada yang beranggapan bahawa Islam itu zalim, Islam tidak indah, Islam mengongkong wanita dan macam-macam lagi apabila mendapati bahawa terdapat berbagai-bagai halangan yang dikenakan ke atas wanita yang baru sahaja kematian suami. Tidakkah mereka ini patut dibiarkan bebas untuk ‘menghiburkan hati’ yang sedang sedih? Biarkan sahaja mereka pergi kenduri-kedara, pergi melancong, window shopping dll…



Apabila kita melihat hukum Allah s.w.t, janganlah kita lihat dari sudut penzahiran hukum semata-mata. Penilaian kita belum tentu dapat menyamai penilaian tuhan yang Maha Hebat. Penilaian kita mudah didorong oleh akal fikiran yang cetek dan diburukkan lagi dengan kehendak nafsu yang tinggi.

Semenjak saya menulis tentang iddah, timbul banyak persoalan tentang apa yang tidak boleh dilakukan oleh isteri yang baru sahaja kematian suami atau dalam erti kata lain, perempuan yang dalam iddah kematian suami. Saya ditanya, boleh tak itu dan ini…. bila saya kata tak boleh, respon yang diterima ialah, nak buat juga. Hmmm… berlapang dada lah… pasti ada hikmahnya.

Saya sendiri sudah melalui fasa iddah kematian suami. Saya sangat faham situasi ini. Bila kita berada dalam kedudukan yang sangat sukar, kenalah didik jiwa supaya menyedari bahawa ada orang lain yang lebih sukar lagi. Saya melalui iddah kematian suami dalam keadaan sarat mengandung 8 bulan. Ada 4 orang anak lagi yang semuanya masih kecil. Ada yang masih minta dikendong dan pada masa itu saya tiada pembantu rumah sepenuh masa. Ibubapa saya pula telah meninggal dunia dan saya tinggal di Utara, jauh dari adik-beradik yang rata-rata tinggal di Selangor dan KL. Saya rasa keadaan saya sangat sukar, tapi, saya kena ingat selalu bahawa ada orang lain yang lebih sukar lagi keadaannya. Bila kita sabar, maka Allah akan permudahkan kehidupan. Alhamdulillah, syukur pada Allah s.w.t yang telah ‘menghadiahkan’ untukku ujian ini. Terlalu banyak yang dipelajari daripada ujian ini.

Kembali kepada topik artikel kali ini.
Wanita yang kematian suami hendaklah beriddah selama 4 bulan 10 hari. Tetapi jika dia mengandung, maka hendaklah dia beriddah sehingga bersalin. Tempoh ini digunakan untuk memastikan rahim kosong (bersih) dan digunakan oleh wanita untuk menyatakan kesedihan atas kematian suami. Ia juga merupakan fasa perubahan yang sukar dan perlu disokong oleh kaum keluarga, rakan-taulan dan jiran tetangga.

Terdapat LIMA larangan yang dikenakan ke atas wanita yang kematian suami:
1. bertunang (secara berterus-terang)
2. berkahwin
3. berhias pada diri atau pakaian
4. tidur di rumah selain rumah yang biasa didiami semasa hayat suami
5. keluar dari rumah tanpa ada tujuan penting yang tertentu

PERTAMA: BERTUNANG SECARA BERTERUS-TERANG
Para fuqaha sependapat bahawa wanita yang dalam iddah tidak boleh bertunang ataupun dipinang dengan cara berterus-terang. Namun jika mahu dipinang dengan berkias, maka ia diharuskan sebagaimana firman Allah s.w.t yang bermaksud, “Tiada larangan ke atas kamu tentang apa yang kamu kiaskan untuk meminang wanita”.

KEDUA: BERKAHWIN
Sebagaimana yang telah disebutkan di awal tadi, tujuan iddah iaitu untuk memastikan rahim bersih dari benih suami. Firman Allah s.w.t., maksudnya: “Dan janganlah melakukan ikatan pernikahan hinggalah sampai tempoh tangguhnya (iddahnya)”. Ayat ini menjelaskan bahawa wanita yang dalam iddah tidak boleh bernikah sehinggalah tamat tempoh iddah tersebut.

KETIGA: BERHIAS DAN BERWANGI-WANGIAN PADA DIRI ATAU PAKAIAN
Wanita dalam iddah wajib menjauhkan diri daripada perhiasan atau berhias-hias sama ada pada tubuh badan mahupun pada pakaian. Malah dianjurkan supaya wanita ini menyatakan kesedihan atas kematian suami dan mengelakkan diri daripada menjadi perhatian lelaki kerana dia berada dalam fasa dilarang bernikah. Ini dapat mengelakkannya daripada perkara-perkara terlarang serta menghindari fitnah.
Dalam hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim, Rasulullah s.a.w. ada menjelaskan bahawa tidak dihalalkan bagi wanita yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat untuk berkabung lebih dari 3 hari kecuali kerana (kematian) suami. Baginda seterusnya menjelaskan bahawa wanita yang kematian suami tidak boleh memakai celak, tidak boleh memakai pakaian yang berhias-hias dan tidak boleh menggunakan pewangi (perfume), kecuali jika dia membersihkan diri iaitu dengan sedikit haruman sahaja. [Lihat penjelasan lanjut dalam Fath al-Bari, jld 9, hlm. 491].
Hadis sahih ini jelas menyatakan bahawa wanita yang kematian suami dilarang memakai wangi-wangian, berhias pada diri atau pakaian termasuk memakai barang kemas pada badan. Dalam hal ini, dianjurkan supaya wanita ini menjauhkan diri daripada memakai pakaian yang menarik perhatian seperti berwarna terang kerana dikhuatiri akan membawa fitnah dan keinginan pada lelaki sedangkan dia masih dalam tempoh larangan berkahwin.
Walau bagaimanapun, tidak semestinya wanita dikehendaki memakai pakaian berwarna hitam. Hitam ialah lambang berkabung bagi seluruh penduduk dunia. Harus wanita dalam iddah berpakaian hitam tetapi tiada larangan untuk dia memakai pakaian berwarna lain.
Diharuskan juga menggunakan pewangi sekadar untuk menghilangkan bau yang busuk pada badan seperti semasa mandi wajib selepas habis haidh iaitu digunakan pada faraj.
Diharuskan pula memakai celak untuk perubatan, tetapi jika mahu dipakai untuk kecantikan, maka ia dilarang.
Diwajibkan ke atas wanita untuk tetap menjaga kebersihan seperti mandi, bersyampu, menyabun badan dll tetapi hendaklah mengelakkan daripada menggunakan peralatan yang mempunyai wangian atau sekurang-kurangnya wangiannya sangat sedikit.

KEEMPAT: TIDUR DI RUMAH LAIN
Larangan ini terpakai untuk wanita yang berada dalam iddah kematian suami dan juga iddah perceraian biasa.
Ertinya, dilarang tidur di rumah yang bukan menjadi kebiasaannya tidur semasa masih dalam ikatan perkahwinan.
Firman Allah s.w.t., maksudnya: “Jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu maka ceraikanlah mengikut masanya dan hendaklah isteri-isteri kamu mengikut iddah dan takutilah Allah tuhan kamu. Janganlah kamu keluarkan isteri-isteri kamu dari rumah-rumah mereka dan janganlah pula mereka keluar darinya kecuali jika datang kebinasaan yang jelas.” [Surah al-Talaq: ayat 1].
Dalil ini terpakai ke atas semua wanita yang berada dalam iddah bahawa mereka dilarang meninggalkan rumah yang menjadi tempat tinggal mereka selama ini. Malah suami yang menceraikan juga dilarang menghalau keluar isteri yang diceraikan. Kelonggaran untuk tinggalkan rumah hanya dibenarkan jika ‘datang kebinasaan yang jelas’ seperti banjir, rumah hampir roboh dan sebarang ancaman yang lain.
Hujah ini disokong pula oleh hadis sahih bahawa pada satu ketika seorang sahabat wanita bernama Furai’ah telah kematian suami dan memohon kebenaran Rasulullah s.a.w. untuk pulang ke rumah keluarganya. Namun Rasulullah s.a.w. memerintahkannya untuk terus tinggal di rumah yang selama ini didiami sehingga habis iddah iaitu 4 bulan 10 hari. Sabda baginda s.a.w. maksudnya: “Tinggallah tetap di rumah kamu sehingga habis tempoh tangguh (iddah)”.

KELIMA: KELUAR DARI RUMAH TANPA TUJUAN (KEPERLUAN TERTENTU)
Larangan tidur di rumah lain mempunyai kaitan dengan larangan yang kelima iaitu tidak dibenarkan keluar dari rumah jika tiada keperluan atau tujuan tertentu yang penting. Hal ini disepakati oleh majoriti fuqaha.
Hadis sahih yang diriwayatkan oleh Muslim menjelaskan bahawa Jabir bin Abdullah berkata, maksudnya: “Ibu saudaraku telah diceraikan, kemudian dia mahu memetik nakhil (buah kurma) maka seorang lelaki telah melarangnya (daripada keluar memetik nakhil), maka ibu saudaraku pergi bertemu Rasulullah s.a.w., maka baginda bersabda: Bahkan pergilah memetik buah tersebut mungkin kamu dapat bersedekah dengannya atau melakukan perkara yang baik.”
Para fuqaha mengqiyaskan hadis ini dengan wanita yang dalam iddah kematian suami bahawa lebih utama lagi untuk membenarkan mereka keluar rumah terutamanya untuk mencari nafkah kerana tidak ada orang yang menanggung nafkah mereka. [Sila ambil perhatian bahawa wanita yang diceraikan, nafkahnya semasa dalam iddah masih ditanggung oleh suami yang menceraikan. Jika suami engkar, buatlah aduan dan tuntutan di Mahkamah Syariah].
Dalam satu hadis yang lain, isteri-isteri para syuhada Perang Uhud yang tinggal berjiran bertemu Rasulullah s.a.w. dan bertanya, maksudnya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami berasa gusar di malam hari, bolehkah kami tidur di rumah jiran kami? Apabila siang kami akan pulang ke rumah kami.” Rasulullah s.a.w. menjawab, “Bercakaplah sesama kamu tetapi apabila kamu mahu tidur maka kembali setiap wanita ke rumah masing-masing.”
Dalam kitab-kitab fiqh banyak disebutkan tentang keharusan wanita dalam iddah kematian suami untuk keluar dari rumah pada waktu siang tetapi dengan syarat terdapat tujuan tertentu dan penting. Menurut para fuqaha, antara perkara tersebut ialah seperti untuk mencari nafkah dan membeli barang keperluan rumah. Dalam mazhab Maliki pula ditambah penjelasan bahawa perempuan yang berada dalam iddah dilarang keluar untuk ziarah menziarahi, dilarang keluar berdagang (berniaga) (kecuali jika itu sumber nafkahnya), dilarang keluar untuk mengucapkan tahniah (seperti menghadiri majlis perkahwinan, pertunangan, hari jadi dan kelahiran bayi), dilarang keluar untuk mengucapkan takziah (seperti menziarahi orang sakit atau kematian) dan dilarang tidur kecuali di dalam rumahnya sendiri. Majoriti fuqaha juga berpendapat bahawa wanita yang dalam iddah dilarang mengerjakan haji atau umrah.
Untuk pencerahan lanjut, lihat Bada’i al-Sana’i, al-Syarh al-Saghir, Nihayat al-Muhtaj fi Fiqh al-Syafii dan Kashshaf al-Qina’.
===================
Baiklah, sekarang dengan fikiran terbuka, cuba perhalusi hukum-hakam yang telah saya nyatakan yang dipetik daripada wahyu Allah serta fikrah para fuqaha yang tiada tolong tandingnya berbanding kita. Apakah agaknya hikmah di sebalik undang-undang ini?
Hmm… saya telah melalui fasa ini dan saya telah merasai hikmah peraturan yang ditentukan oleh Allah s.w.t. ini…
Sekarang terserah kepada anda sama ada anda sedang dalam iddah, mempunyai ibu yang dalam iddah, jiran atau adik-beradik yang dalam iddah atau sebagainya…. Semua pihak perlu saling faham-memahami situasi wanita dalam iddah dan saling ingat-mengingatkan jika ada orang yang anda kenal telah tersilap langkah semasa berada dalam iddah. Bantulah mereka melalui tempoh peralihan yang sangat perit ini.
Semoga semuanya berada dalam rahmat Ilahi. Kasih sayang Allah s.w.t. sentiasa mendahului kemurkaannya, maka janganlah kita memilih kemurkaannya sedangkan azab Allah itu sangat pedih manakala syurga yang indah dengan ni’mat melimpah ruah menanti wanita mu’minah yang sabar meniti kehidupan tanpa seorang suami!