Monday, March 7, 2011

motivasi dari mengingati mati..

assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Terasa lama tidak menulis. tuntutan tanggungjawab, mendahulukan prioriti..makanya, blog tinggal seketika. 3 hari 2 malam berkampung di PERHILITAN, Felda jenderak Selatan, memusnahkan impian bercuti dan bersenang lenang bersama keluarga. Bukan satu rungutan, malah satu kesyukuran, kerana pengalaman yang dicari dan bakti yang dicurah..memungkinkan hasil yang bermanafaat..semoga semuanya kerana DIA Yang Esa.

Kem motivasi thn 6. alhamdulillah, dengan rahmat dan kasih sayangNya, semua berjalan lancar. sempat berbincang dengan guru besar dan guru yang berpengalaman dalam bidang pendidikan ini, menyedarkan diri yang kerdil ini tentang hakikat betapa bersabarnya seorang guru dalam mendidik manusia menjadi manusia. setinggi mana kesabaran seorang guru, insyaAllah setinggi itu ganjaran dariNya. sabar! ya, guru memang seorang yang sabar, kerana proses mendidik bukan hari ini mengajar dan mendidik, esok semua murid menjadi manusia. ia adalah proses yang panjang dan merumitkan. subjek utama didikannya bukan robot yang menerima arahan lantas terus melaksanakan arahan, tetapi seorang manusia yang punya akal, iman dan nafsu. pokok utama, terus sabar mendidik, semoga sedikit sebanyak, Allah izinkan, ia berhasil.

Saya memarahi lidah yang tersasul menyatakan persetujuan untuk menjalankan slot penghayatan diri. Dengan tiada persediaan yang mencukupi, hanya padaNya saya mengadu, memohon bantu. Diberi ilham dan kekuatan untuk melaksanakan tugas, menyampaikan sesuatu yang dapat menjentik 'rasa' pada 33 orang murid yang diulit keseronokan hidup awal remaja. perancangan awal untuk brain wash mereka terpaksa dibatalkan kerana mereka telah di'brain wash' lebih awal akibat kesalahan yang mereka buat. sengaja cari 'bala'. akibatnya, saya susah hati..apa nak buat ni?..

Alhamdulillah, Allah izinkan akal ini masih mengingati aktiviti2 dari program2 motivasi yang saya dan team Al-Falah dan team Al-Farabi kendalikan dulu. saya mengambil satu aktiviti yang memerlukan perahan minda dan idea dari kalangan ahli kumpulan. murid-murid begitulah 'nature' nya. tidak menepati masa, dan tidak serius dalam membuat satu-satu tugasan. kelemahan itu saya sentuh di akhir tugasan dan akhirnya mengheret kepada slot penghayatan diri.

" ada antara mak-mak kamu mengadu kepada cikgu..cikgu tolonggglah...saya dah tak tau nak buat macamana dengan anak saya"

dialog itu starting point pada sentuhan rasa seorang anak yang membayangkan tentang kematian seorang ibu, tanpa sempat si anak memohon ampun dan maaf. maka, bersahut-sahutanlah raungan dari si anak yang terasa masih banyak dosa yang dilakukan mereka pada ibu yang bersusah payah mengandungkan mereka. melahirkan mereka, membesarkan mereka, menyuapkan makan mereka, menyikatkan rambut mereka, berjaga ketika sakit. bertungkus-lumus membesarkan mereka. sehingga mereka tidak menghiraukan tentang lapar perut sendiri, sakit pening sendiri, baju-pakai sendiri, malah sehingga nyawa sekalipun sanggup ditukar dengan seorang anak. begitu jasa seorang ibu!

tetapi anak? menyakiti, tidak mengendahkan...menganggap ibu seorang yang menyusahkan, suka membebel..suka marah-marah..suka kongkong..semua yang disukai, dibenci oleh si ibu..

orang yang mengingati mati adalah orang yang paling bijak.

seorang anak yang meyakini bahawa ibu bapanya adalah pinjaman Allah padanya, bila-bila masa ibu bapanya boleh dipaggil kembali kepada Pencipta kehidupan dan kematian, akan sentiasa mentaati ibu bapanya dan menggembirakan ibu bapanya. kerana masa untuk bersama ibu dan bapa adalah sangat singkat.

seorang suami/isteri yang menyakini bahawa suami/isterinya adalah pinjaman Allah taala buatnya tidak akan menyakiti hati dan jasad suami/isteri kerana masa merencana dan membina hidup mawaddah dan sakinah bersama adalah terlalu singkat.

seorang sahabat meyakini bahawa kematian setiap insan adalah pasti, maka berusaha sedaya mungkin untuk membahagiakan sahabatnya selagi hayat dikandung badan.

seorang jiran yang meyakini, bila lah masa kita pula akan kembali padaNya, akan menjadikan jirannya selamat dari sakit akibat lisan dan perbuatannya.

seorang majikan atau ketua yang meyakini bahawa dia akan dipanggil pulang ke alam abadi dan akan di soal akan amanah dan tanggungjawab orang bawahannya, sesekali tidak akan menzalimi mereka yang berada di bawah pengawasannya.

dan andainya semua manusia mengambil mati sebagai satu motivasi, bukan sebagai sesuatu yang ditakuti..maka, wujudlah alam yang penuh kasih sayang, bersatu padu, dan harmoni. semuanya akan berlumba membuat kebaikan dan memaafkan kesalahan insan.

" Ya Allah ya tuhanku, bukankanlah pintu hati anak-anak muridku, jadikanlah mereka anak-anak yang soleh, yang berjaya du dunia dan akhirat..amin."

ummufathi @ FJU,
7/3/2011.

No comments:

Post a Comment