Tuesday, October 12, 2010

kepercayaan dan berdikari..

“dialah isteri saya.”

Ucapan yang ringkas. Tapi dalam maksud dan makna tersirat. Disitu terletak kebanggaan, penghormatan dan kepercayaan. Ucapan ketika memperkenalkan aku kepada seorang guru perempuan sekolahnya, setelah semalamnya aku dan guru itu rancak bersembang.


“sabarlah sayang, abang redha sayang berkhidmat di sana”


Seminggu itu, aku hanya meminta dan terus meminta izinnya untuk berhenti kerja. Sudah mencari-cari kerja kosong di dalam negeri Pahang. Tidak sanggup lagi bagiku berjauhan dengannya setelah diuji dengan kehilangan anak yang dinanti. Kesabarannya melayan karenahku begitu mengagumkan. Malah ketika itu, aku tidak sempat menyelami hatinya kerana kami sama-sama kehilangan. Apa yang aku tahu, aku hanya mahu berada di sampingnya. Dia seperti biasa tidak pernah menunjukkan atau menceritakan kesedihannya, sedangkan dialah yang benar-benar mahukan anak perempuan. Berkat kesabarannya, dan mungkin Allah menguatkan aku melalui kesabarannya, kami kembali ceria dan aku tidak bercerita lagi tentang kemahuanku untuk berhenti kerja.


“Abang tau, kalau abang takde pun, sayang boleh berdikari..”


Speechless. Tapi terselit rasa sayang, bangga dan bahagia. Yang pasti kepercayaannya padaku sangat tinggi. Dan aku gunakan sebaiknya kepercayaan itu. Kepercayaan sangat penting apabila berlakunya PJJ. Tanyalah mana-mana pasangan yang berkahwin, siapalah yang sanggup berjauhan dengan pasangannya. Tetapi andai itu ujian dan dugaan bahtera kasih, apakan daya, kuatkan iman, teguhkan kepercayaan.nescaya ujian itulah penguat kasih, penyemai sayang yang berpanjangan. Namun perlukan satu syarat, jangan terlalu lama berjauhan. Takut-takut syaitan berjaya menyucuk jarumnya. Rasa selesa bila berjauhan adalah racun dalam diam sebuah ikatan pernikahan.


Sebenarnya kata-kata yang terpacul dari landasan kata abang itu adalah ayat-ayat akhir seseorang yang seolah-olah telah tahu ajalnya bakal tiba walau jasadnya tiada cacatnya. Sebelum itu, sebelum bersiap ke masjid untuk solat jumaat seminggu sebelum pemergiannya, dia hanya memerhati aku membuat kerja-kerja di dapur. Dengan perut yang memboyot, aku leka menyiapkan kerja, tanpa disedari lama rupanya dia memerhatikan aku. Entah apalah yang difikirkan tika itu..


Berdikari. Ya, dan Alhamdulillah, Allah telah tarbiyah aku sedari kecil sememangnya seorang yang berdikari. Bermula habis sekolah rendah, aku ditakdirkan merantau ke daerah Raub yang jauhnya ratusan kilometer dari tempat kelahiranku. Aku dan sepupuku adalah pelajar paling jauh ketika itu. Dua tiga bulan selepas menjejak kaki ke SMAAFBT, aku telah berjaya pulang dan kembali sendirian ke sekolah apabila tiba musim cuti menaiki bas awam.


Sewaktu tingkatan 4, aku telah berpindah ke sekolah menengah agama yang berdekatan dengan kampungku. Malangnya, kemasukan aku yang agak terlewat memaksa aku mencari tempat tinggal luar kerana asrama telah penuh. Jadi sekali lagi aku berulang dari rumah kakak ke sekolah, kemudian menumpang di rumah ustazah Raudhah yang banyak berbakti padaku. Jasanya kukenang hingga ke akhir hayatku. Hanya Allah yang mampu membalasnya.


Begitu jua swaktu di matrikulasi UIA di PJ, dalam jangka waktu yang singkat, aku sudah mampu mencari jalan pulang walaupun sendirian menaiki bas awam di tengah-tengah kotaraya Kuala Lumpur. Sesekala terpaksa menapak sendirian ke hentian puduraya tika malam sudah menjelma. Apakan daya, itulah rutin seorang pelajar sepertiku.


Tidak habis di situ, aku juga sudah biasa berdikari apabila sendirian di Sarawak. Perjalanan hidupku berliku dan memaksa aku untuk kuat, sabar dan tabah. Namun hakikatnya, aku punya DIA yang membuatkan sepanjang perjalanan-perjalanan hidupku ini kuat, tidak gentar dan diselamatkan. Apabila aku punya DIA, aku tidak takut pada siapa-siapa.


Dan hingga kini, aku tetap terus mahu berdikari. Bukan mendabik dada menyatakan diri ini hebat, tetapi andai kita keseorangan dan ingin berdikari, rasa hati ingin terus kuat bergantung padaNYA. DIA tetap hadir dan subur di hati ini. Setiap saat, setiap ketika. Setiap helaan nafas ini dilepaskan, DIA ADA. Dan dengan izin DIALAH, aku masih kuat berdiri disini.


Dulu, aku berlari di jalanan kehidupan atas kepercayaan yang tersayang dan DIA YANG SENTIASA ADA. Kini aku terus juga berlari di landasan berliku ini atas kepercayaan bahawa DIA TETAP ADA, walaupun yang tersayang telah tiada….



ummu fathi,
skju @ 10.30am

No comments:

Post a Comment